Vistana Fertility Centre

Rawatan

Kira-kira 20-30% wanita berkemungkinan tidak dapat hamil kerana kegagalan untuk ovulasi. Pesakit kebiasaannya mengalami haid yang tidak teratur dan sebahagian mungkin mempunyai ciri-ciri lain seperti lebihan rambut menyerupai lelaki, obesiti atau susu yang keluar daripada payudara. Selepas pemeriksaan sejarah dan fizikal yang teliti, dan pemeriksaan darah jika perlu, induksi ovulasi mungkin dicadangkan dengan penggunaan ubat untuk membolehkan telur matang dan ovulasi berlaku, memberi pasangan peluang yang lebih baik untuk hamil melalui ‘timed intercourse’ atau dengan bantuan inseminasi.

Ubat induksi ovulasi yang paling biasa digunakan di VFC adalah clomiphene sitrat atau letrozole.

IUI merupakan prosedur memasukkan air mani pasangan yang telah dibersihkan melalui serviks dan ke dalam rahim, pada waktu hampir untuk ovulasi. Prosedur ini mudah dan rawatan kesuburan yang kurang invasif. Rawatan ini sesuai untuk pesakit yang mengalami masalah kesuburan yang tidak dapat dikenal pasti, endometriosis yang ringan, sperma yang tidak normal dan pesakit PCOS yang telah gagal melalui kaedah induksi ovulasi.

Proses IUI

IUI biasanya dilakukan dengan rangsangan kitaran yang bertujuan untuk menghasilkan 2-3 folikel. ‘Ovulation induction’ melibatkan penggunaan ubat untuk merangsang ovari dan menyebabkan ovulasi sama ada dengan Letrozole atau suntikan FSH (hormon perangsang folikel).

Sampel air mani akan dianalisis dan dibersihkan untuk memekatkan sperma yang bergerak. Sampel akhir yang telah disiapkan digunakan untuk inseminasi di mana ia dimasukkan dengan lembut ke dalam rongga rahim menggunakan spekulum dan kateter kecil.

Prosedur IUI biasanya tidak menyakitkan, walaupun anda mungkin mengalami kekejangan ringan dan / atau ketidakselesaan.

Persenyawaan In-Vitro (IVF) adalah prosedur di mana telur dan sperma disatukan bersama di luar badan, di dalam makmal yang khusus. Telur yang disenyawakan (embrio) dibiarkan untuk berkembang dalam keadaan yang dikawal untuk beberapa hari sebelum dipindahkan ke dalam rahim wanita, meningkatkan peluang untuk hamil berlaku.

IVF boleh digunakan untuk mengatasi pelbagai masalah kesuburan seperti jumlah sperma yang rendah, endometriosis, ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan, kegagalan IUI, PCOS dan bagi kebanyakan pasangan, memberi mereka peluang terbaik untuk melahirkan bayi.

Proses IVF

Rawatan anda akan diselaraskan oleh pakar kesuburan anda bersama-sama dengan pasukan yang berpengalaman terdiri daripada jururawat dan pegawai sains. Kami biasanya menjaga embrio di makmal sehingga hari kelima, dikenali sebagai peringkat blastocyst, kerana terdapat bukti kukuh yang mengatakan bahawa embrio pada peringkat ini lebih cenderung untuk menempel ke dalam rahim.

Embrio yang disenyawakan akan dipindahkan ke dalam rahim wanita dalam prosedur mudah yang dikenali sebagai pemindahan embrio (teknik yang sangat mirip dengan pap smear). Lebihan embrio yang berkualiti akan dibekukan untuk kegunaan pada kitaran yang berikutnya.

Suntikan Intrasitoplasmik Sperma (ICSI) adalah prosedur tambahan di dalam rawatan IVF. Bagi rawatan jenis ini sperma tidak dibiarkan untuk menembusi telur di dalam piring, sebaliknya saintis kami dengan berhati-hati menyuntik satu sperma terus ke dalam telur untuk membantu proses persenyawaan. Ia dilakukan dengan bantuan peralatan manipulasi mikro yang terbaik. Dalam kebanyakan kes, ICSI boleh digunakan sebagai rawatan yang paling berkesan bagi mengatasi  masalah kemandulan yang teruk.

Photo by Dr Maiza Tusimin, 2016.

PESA (Percutaneneous epididymal sperm aspiration)

PESA adalah satu kaedah yang digunakan untuk mendapatkan sperma daripada epididimis bagi pesakit yang mempunyai masalah saluran vas deferen yang tersumbat. Dalam kaedah ini, jarum akan disuntik ke dalam kantung testis untuk mengumpulkan sperma daripada epididimis iaitu tempat di mana sperma disimpan setelah dihasilkan di testis. 

TESE (Testicular sperm Extraction)

TESE adalah prosedur pembedahan untuk mengeluarkan sedikit tisu daripada testis untuk mendapatkan sperma yang hidup dan akan digunakan untuk proses ICSI. Prosedur ini perlu dilakukan untuk pesakit yang tidak dapat ejakulasi atau mengalami masalah azoospermia (tiada sperma di dalam semen). Prosedur ini memerlukan anasthesia yang ringan.