Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan pengeluaran kesihatan terbaharu bagi rawatan kesuburan.
Pengeluaran itu bertujuan membantu pasangan yang menghadapi cabaran untuk mendapatkan cahaya mata, selain membantu usaha kerajaan menangani trend penurunan kadar kesuburan yang berterusan dan kesannya kepada sistem kesihatan serta ekonomi negara.
Pengerusinya Tan Sri Datuk Seri Ahmad Badri Zahir berkata, KWSP membenarkan ahli yang layak membuat pengeluaran bagi rawatan kesuburan bermula 1 September lalu.
“Melalui pengeluaran itu, ahli KWSP boleh mengeluarkan simpanan dalam akaun dua untuk membiayai kos rawatan mendapatkan cahaya mata.
“Ahli boleh membuat pengeluaran beberapa kali yang diinginkan tertakluk kepada baki simpanan akaun dua mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Skim itu dilancarkan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di EPF Learning Campus (ELC), Bangi, hari ini.
Beliau berkata, pilihan pengeluaran kesihatan itu adalah tanda sokongan KWSP kepada pasangan yang ingin mendapatkan rawatan tetapi menghadapi kekangan kewangan kerana kos yang tinggi.
Katanya, ia adalah lanjutan kemudahan pengeluaran kesihatan sedia ada yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 5:42 PM
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/627628/boleh-keluar-kwsp-untuk-rawatan-kesuburan