Vistana Fertility Centre

Kesuburan Lelaki

Proses penghasilan sperma bermula di dalam testis. Bagi lelaki yang muda dan sihat, lebih kurang 100 juta sperma dihasilkan setiap hari. Sperma-sperma ini perlu melalui satu saluran yang panjang bermula dari epididimis ke duktus vas deferen dan kemudian dipancarkan bersama pancutan air mani melalui uretra (saluran kencing). Sperma ini akan melalui proses kematangan sepanjang perjalanannya. Keseluruhan proses penghasilan dan kematangan sperma ini memerlukan tempoh masa lebih kurang 3 bulan. Sebarang masalah kesihatan yang serius boleh menjejaskan penghasilan sperma dalam tempoh 3 bulan tersebut.

Seekor sperma terdiri daripada bahagian kepala, leher dan ekor. Untuk memastikan kejayaan sperma mempersenyawakan telur wanita, sperma tersebut perlu berenang melalui rongga rahim dan salur tiub fallopio untuk bertemu dengan telur. Ia juga memerlukan struktur kepala yang normal untuk membolehkannya menembusi dinding selaput telur dan melepaskan bahan genetik di dalamnya. 

Masalah kesuburan lelaki melibatkan lebih kurang 40% daripada pasangan yang mempunyai masalah kesuburan. Kebanyakannya mempunyai masalah kekurangan jumlah sperma yang dihasilkan, fungsi sperma yang tidak normal dan sumbatan di dalam tiub vas deferen yang menghalang pengeluaran sperma. Selain daripada itu terdapat juga kes melibatkan penghasilan antibodi terhadap sperma, kromosom dan DNA yang tidak normal dan masalah ereksi dan ejakulasi.

  1. Faktor kesihatan dan gayahidup seperti merokok, minum alkohol berlebihan, pengambilan ubat steroid atau dadah dan masalah obesiti.
  2. Sejarah kesihatan seperti testis tidak turun ke dalam kantung, hernia, jangkitan kelamin (STD) atau kecederaan yang serius.
  3. Jangkitan kuman juga boleh mempengaruhi kesihatan sperma untuk tempoh sementara.
  4. Kecederaan yang serius pada bahagian groin boleh menjejaskan penghasilan sperma.

Analisa air mani adalah ujian yang paling utama untuk mengenal pasti masalah kesuburan lelaki

  1. Mengubahcara hidup yang lebih sihat seperti berhenti merokok dan minuman alkohol, senaman yang berkala, makan makanan yang sihat dan memastikan berat badan unggul.
  2. Permanian beradas (IUI) sekiranya masalah kekurangan jumlah sperma yang tidak serius.
  3. IVF atau ISCI untuk masalah sperma yang serius di mana ia melibatkan proses memasukkan satu sperma ke dalam telur wanita untuk membantu proses persenyawaan.
  4. Bagi lelaki yang tidak mempunyai sperma di dalam air mani melalui proses ejakulasi, sperma akan di keluarkan melalui proses PESA atau TESE (sperma dikeluarkan dari epididimis atau testis).

Apakah analisa Air Mani?

Analisa air mani melibatkan pengiraan jumlah sperma, pergerakannya, rupa bentuknya serta isipadu dan kepekatan air mani daripada air mani yang terhasil dari proses ejakulasi.

Air mani yang normal akan menunjukkan sekurang-kurangnya 15 juta jumlah sperma per ml dan sebahagian daripadanya menunjukkan pergerakan ke hadapan.

Bagaimana prosedur untuk ujian Air Mani?

Anda dikehendaki menghasilkan air mani melalui proses masturbasi dan sampel tersebut hendaklah sampai ke makmal dalam masa 30minit. Anda juga boleh menghasilkan air mani di dalam bilik yang disediakan di VFC. Sample tersebut akan dianalisa berkenaan jumlah sperma, pergerakan dan rupa bentuk. Sebarang masalah yang dikenalpasti akan memerlukan pengulangan ujian ini dalam masa 2 hingga 3 bulan kerana pusingan jangkahayat sperma memerlukan sekurang-kurangnya 72 hari.