Kesuburan Wanita
Sistem reproduksi wanita merujuk kepada semua organ wanita yang membolehkan seseorang wanita untuk hamil,dan melahirkan anak. Aktiviti bagi sistem reproduktif wanita dikawal oleh hormon-hormon yang dirembeskan oleh otak dan ovari yang menyebabkan perkembangan dan pembebasan telur berlaku.

Setiap bulan daripada akil baligh sehingga menopos, sebiji telur akan dilepaskan daripada salah satu ovari anda. Perkara ini disebutkan sebagai ovulasi dan kebiasaannya berlaku di pertengahan kitaran haid. Kitaran haid ialah kiraan hari bermula daripada permulaan haid sehingga ke hari pertama haid seterusnya. Telur kemudiannya bertahan sekitar 24 jam semasa ia menuju ke dalam tiub fallopio dan menunggu untuk disenyawakan.
Pada masa yang sama, dinding rahim sedang menebal dan bersedia untuk menerima dan menyokong embrio. Sperma berenang melalui bukaan pintu rahim, melintasi rongga rahim dan bergerak di sepanjang tiub fallopio menuju ke arah telur. Setelah telur disenyawakan oleh sperma, embrio akan terhasil dan dalam tempoh 4-6 hari ia akan bergerak mengikut tiub fallopio ke dalam rongga rahim. Embrio kemudiannya menempel di dinding rahim dan akan berkembang.
Kehamilan secara semula jadi memerlukan ovulasi, sperma yang normal serta tiub dan rahim yang normal.
Kesuburan wanita boleh dipengaruhi oleh umur dan keadaan reproduksi wanita yang umum seperti sumbatan pada tiub fallopio, endometriosis, sindrom polycystic ovari atau fibroid.
1. UmurUmur merupakan faktor terpenting yang mempengaruhi kesuburan seorang wanita. Hal ini kerana bilangan telur yang dihasilkan berkurang dengan cepat apabila umur anda bertambah dan terdapat risiko keguguran serta kromosom tidak normal.
Apabila umur anda mencapai usia 36 tahun, peluang anda untuk hamil secara semula jadinya adalah separuh daripada peluang kehamilan ketika berusia 20 tahun. Pada usia 41 tahun, peluang ini menurun sehingga 4% sahaja. Peratus tersebut adalah kadar kejayaan pasangan dalam tempoh sebulan mencuba untuk hamil bagi wanita berumur 40 dan 41 tahun.
Wanita yang berumur lewat 30-an dan 40-an mempunyai peluang hamil yang rendah adalah disebabkan bilangan telur sihat yang dihasilkan berkurang dengan cepat apabila umur anda bertambah, terutama selepas usia 36 tahun.
Semakin berusia, sel-sel akan mula untuk membahagi secara tidak normal dan bilangan genetik menjadi tidak seimbang – menyebabkan peluang untuk terjadinya variasi kromosom meningkat. Hal ini menyebabkan wanita berumur bukan sahaja mengalami kesusahan untuk hamil, malah mempunyai risiko keguguran yang tinggi dan kemungkinan yang tinggi untuk melahirkan bayi dengan genetik yang berlainan seperti Sindrom Down.
Berita baiknya ialah dengan adanya kemajuan dalam teknologi reproduktif, termasuk IVF dan jenis bantuan kehamilan yang lain, anda mampu meningkatkan peluang untuk hamil.
2. Masalah Ovulasi dan Period Tidak Teratur
Wanita yang mengalami gangguan ovulasi kebiasaannya tiada haid atau mengalami haid yang tidak teratur. Punca utama termasuklah PCOS, obesiti atau berat badan rendah, gangguan tiroid, kegagalan ovari pramatang atau simpanan ovari rendah. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita yang mempunyai haid tidak teratur menghidap PCOS. Rawatan selalunya bergantung kepada punca termasuk perubahan diet dan gaya hidup atau ubat kesuburan untuk merangsang ovulasi.
Simpanan atau rizab ovum adalah kumpulan telur yang terdapat di ovari pada suatu masa tertentu. Ia adalah terma yang digunakan untuk menjelaskan potensi kesuburan seseorang wanita berdasarkan bilangan telur dalam ovari.
Simpanan ovum rendah apabila terdapat penurunan fisiologi dalam bilangan telur menyebabkan jumlahnya tidak mencukupi untuk memastikan peluang untuk hamil.
Secara amnya, ia adalah disebabkan penuaan ovari yang mana apabila umur meningkat, bilangan dan kualiti telur dalam ovari semakin berkurang.
Setiap wanita dilahirkan dengan sejumlah bilangan telur yang tertentu. Namun, bermula daripada akil baligh telur-telur ini akan diovulasi sehingga semuanya selesai. Apabila semua telur berkenaan terovulasi, haid akan berhenti dan keadaan ini dipanggil sebagai monopaus.
AMH (hormon anti Mullerian ) adalah hormon yang dirembeskan oleh sel-sel dalam folikel telur yang sedang membesar. Secara umumnya, paras hormon AMH adalah penanda aras yang terbaik untuk menunjukkan jumlah simpanan telur di dalam ovari bagi seorang wanita.
Hormon AMH tidak berubah mengikut kitaran haid seseorang wanita, oleh itu ujian darah boleh dilakukan pada bila bila masa dan ia tidak berubah walaupun seseorang wanita itu menggunakan hormon kontraseptif.
Ujian AMH akan dapat memberi gambaran secara kasar berkenaan baki simpanan telur di dalam ovari dan tempoh waktu kesuburan yang masih berbaki sebelum mencapai waktu menopaus. Walaubagaimanapun ia tidak dapat menentukan tahap kualiti telur yang ada.